Bagaimana Mencari Bahagia?

ENTAH kenapa, tiba-tiba fikiran sendat dengan rasa keliru tatkala mengenangkan beberapa perkara yang langsung tidak terlintas di kepala sebelum ini. Hati secara mendadak berbicara, cuma tinggal beberapa hari saja lagi sebelum 2009 menjengah. Semakin hari berlalu, semakin usia meniti dan kita semakin leka dengan gelombang modeniti yang menuntut perubahan untuk mencari kesempurnaan diri.

Teringat pula pertanyaan seorang teman tidak lama dulu, hari ini, semua orang sibuk menjana kekayaan dan mencari kekurangan rupa paras untuk diperbaiki. Jadi rasionalkah lagi kita mengamalkan nilai-nilai murni kala ramai yang meminggirnya di belakang?

Sebenarnya bagi penulis, persoalan subjektif sememangnya sukar untuk dileraikan. Apapun, semuanya bergantung kepada kita sendiri untuk menentukan hala kehidupan masing-masing. Takkan ada yang silap walau apapun pilihan dibuat. Jika tidak, takkan wujudlah istilah pahit manis kehidupan!


Joy & Passion ( Keriangan dan Keghairahan)
Melakukan sesuatu yang boleh kamu nikmati sepenuhnya adalah permulaan yang baik untuk melatih diri menghargai setiap momen indah yang berlalu. Setiap kali kamu melaksanakan pekerjaan yang digemari, ia bagaikan satu anugerah tidak ternilai pada kamu. Kamu akan menyempurnakan tanggungjawab itu dengan lebih ikhlas dan penuh bertenaga.

Kindness (Kebaikan)
Mungkin wajah jelita adalah bonus paling mahal untuk orang lain mudah mengingati. Namun mereka juga menghargai keindahan dari kebaikan yang kamu hulurkan. Biasanya, tekanan adalah pembunuh utama kebaikan. Tekanan boleh membuatkan kamu cenderung untuk menolak kehadiran orang lain bagi mengelakkan diri lebih terluka. Sebaliknya, kamu sebenarnya perlu mendekati mereka untuk mengurangkan stress.

Entah bagaimana ingin menggambarkan bentuk sebuah kebaikan. Adakalanya berbuat baik tidak memberi makna kamu harus menolak kepentingan kala berpeluang. Kebaikan hati lebih daripada menolong orang lain. Apabila melakukan kebaikan terhadap seseorang, mental dan spiritual kamu akan di set dan dibungai dengan rasa simpati.


Health (Kesihatan)
Kesihatan fizikal biasanya terpancar menerusi kulit yang bersinar, mata yang bercahaya dan tubuh yang bersemangat. Kesihatan mental juga berperanan penting dan berkait rapat dengan tubuh yang bertenaga. Kebahagiaan hidup yang dikecapi menerusi pembinaan nilai-nilai murni positif pasti membiaskan kepada kelahiran rasa ghairah, teruja, riang dan bersemangat pada diri untuk meneruskan kehidupan.

Sekiranya hari-hari kamu dipenuhi dengan kerisauan dan kebimbangan, kamu hanya akan menderita dan pastinya dunia ini tidak lagi bermakna buat kamu. Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan masalah tersebut antaranya, mendapatkan bantuan perubatan daripada pakar. Pakar terapi terbaik biasanya tiada masalah untuk meleraikan kekusutan masalah pesakitnya. Satu kebaikan mendapat nasihat pakar, kamu dapat menyelami kepercayaan dan pandangan tentang orang lain yang sebelum ini langsung tidak disedari.

Courage ( Keberanian)
Pemikir-pemikir hebat pernah berpendapat bahawa satu-satunya cara untuk meraih kebahagiaan hidup dengan menentukan arah tujuan. Melaluinya, secara tidak langsung kamu akan mendapat galakan untuk mencipta kehidupan lebih bermakna. “ Working on your inner beauty take some nerve. Its more difficult to build character than it is to get glossy hair”.


" Gapai impian genggam kebahagiaan!"


Namun, dalam usaha membina kendiri dan karektor positif, tiada jaminan hidup kamu akan menjadi lebih mudah dan menyenangkan. Ibarat pepatah Perancis, keberanian bermakna kesanggupan untuk menanggung risiko. Risiko itulah kecantikan yang sebenar yang lebih bernilai dari kecantikan luaran.

Jadi, apa pandangan kamu remaja? Bagi penulis, membina diri tidak semudah kita membina sebuah rumah. Terlalu banyak nilai hidup yang subjektif perlu diamalkan sebelum benar-benar menyatu dan membentuk karektor sebenar kita. Adakala dalam kesibukan meniti ranjau hidup harus ada keciciran beberapa perkara yang tidak dijangka yang mungkin masih boleh dikutip kemudiannya. Jadi, masih belum terlambat jika kamu ingin melakukan perubahan besar dalam hidup.

Kata orang, seri wajah memukau sebenarnya perlu lahir dari lubuk hati yang bersih dan bahagia. Itu tandanya karektor kamu sudah sempurna. Jadi, si gadis yang bahagia dan suci hatinya tidak lagi perlukan krim anti kedut 3 -5 tahun akan datang, jika kamu amalkan senyuman sebagai sedekah bermula dari sekarang!

Usah bermimpi untuk mengecapi erti kebebasan sebenar dalam hidup sekiranya kamu takut bertanggungjawab terhadap setiap tindakan sendiri -- Jean-Paul Sartre –

No Response to "Bagaimana Mencari Bahagia?"