Kristen Bell.. Auranya Semakin Bersinar

SESUNGGUHNYA dia berani, cekal dan sabar orangnya. Mungkin itulah istimewanya Kristen Anne Bell. Jika tidak masakan impiannya bergelar selebriti popular bisa terlaksana. Biar pun harus meniti hidup di tengah kekusutan akibat penceraian kedua orang tuanya. Namun, ternyata sikap berdikari Kristen Bell yang ditunjukkan sedari usianya mencecah 2 tahun itu benar-benar berbaloi.

Hampir sekian lama hidupnya terabdi di pentas layar. Mungkin juga minat mendalam terhadap dunia glamor itu percikan daripada warisan yang dipusakai dari ayahnya, Tom Bell, seorang pengarah berita televisyen. Sedangkan ibunya, Lorelei Bell hanyalah seorang jururawat biasa.

Dan bagi Bell sendiri, dia mula menyedari cintanya terhadap dunia seni kian menebal kala pertama kali menjejakkan kaki di pentas uji bakat di Suburban Detroit Theater Production tahun 1992 ketika umurnya menginjak 11 tahun. Ketika itu dua watak sebagai sebiji buah pisang dan sebatang pokok sudah cukup meniupkan semangatnya untuk terus ligat di pentas teater.

Tahun 2001 sememangnya menjanjikan kejayaan untuk Bell. Dia mula meraih sukses saat beraksi menerusi debut sulungnya sebagai Becky Thatcher dalam The Adventures of Tom Sawyer. Seterusnya, kemilau kariernya semakin bersinar terang apabila terpilih memegang watak utama menerusi siri Veronica Mars bermula September 2004 sehingga Mei 2007.

Bermula dengan mencipta nama di tanah air sendiri, bukan sedikit perih perih yang terpaksa didepani demi mencipta dunia impiannya. Itulah keunikan serta kelebihan gadis kelahiran Huntington Woods, Michigan yang terletak di pinggir Kota Detroit ini.

Bagaikan meraih platform yang memberi impak besar dalam perjalanan seninya, sensasi dan semangatnya untuk lebih berjaya di pentas layar semakin cerah apabila ditawarkan memegang watak Mary Lane untuk versi filem bagi Reefer Madness: Movie Musical dan turut dipotretkan sebagai watak utama dalam Pulse pada tahun 2006.

Jejak-jejak kejayaan terus kekal dalam genggaman Bell, pada tahun 2007 dia melangkah setapak lagi apabila ditawarkan membintangi siri televisyen yang mendapat rating penonton tertinggi di Amerika Syarikat iaitu Heroes di samping Hayden Panettiere dan Ali Larter sebagai Elle Bishop dan seterusnya siri drama televisyen Gossip Girl. Selain itu, dia turut meraih anugerah menerusi Satellite Award dan Saturn Award selain turut dicalonkan untuk anugerah Television Critics Association Awards dan Teen Choice Awards.

Ternyata tapak-tapak kejayaan semakin mewarnai langkah si jelita kecil molek ini apabila sekali lagi meraih perhatian penonton menerusi filem romantik komedi Forgetting Sarah Marshall yang dilakonkan di samping Jason Segel dan Russell Brand pada tahun 2008.

Tragedi Mencalar Bahagia
Di sepanjang kehidupan bergelar bintang, tambahan lagi di usia remaja dan baru berjinak-jinak di medan penuh glamor itu, ternyata Bell yang banyak terlibat dengan persatuan pencinta haiwan di Amerika Syarikat ini bijak mengatur hidup. Namun, hakikatnya, tidak akan wujud bunga-bunga bahagia di setiap lorong hidup.

Sesekali pasti akan ada peristiwa dan tragedi menyayat hati yang mencalarkan kebahagiaan. Begitu juga dengan kamus hidup Bell dengan kematian teman baiknya, Jenny DeRita dalam satu kemalangan ngeri pada usia 17. Pada masa yang sama, ibunya lesap entah ke mana. Manakala ayahnya kehilangan kerja dan lebih memburukkan keadaan mereka dihalau dari kediaman dan terpaksa tidur di jalanan.

Tragedi pahit itu meninggalkan impak mendalam pada diri Bell. Malah turut mengakui ia merupakan tragedi paling buruk yang pernah terjadi di dalam hidupnya. Namun, tiada istilah putus asa atau malu berdepan realiti hidup, Bell malahan terus berusaha untuk bangkit semula mencari jejak-jejak jaya.

“ Biarpun hanya sekali anda belajar untuk tidak mengambil kesempatan ke atas orang lain, pasti anda akan menikmati kebahagiaan hidup selamanya…,” akui Bell.

Bahagia Dilamun Cinta
Seperti selebriti popular lain, gadis yang bernaung di bawah zodiak Cancer ini tidak mungkin mampu mengelak apabila kisah peribadinya cuba diselongkar media yang sentiasa dahagakan publisiti. Bell kini ternyata sedang bahagia dengan teman lelakinya Dax Shepard apabila cintanya dengan Kevinn Man terlerai pada tahun 2007 selepas lima tahun bersama. Biarpun pasangan ini cuba merahsiakan perhubungan mereka dari dihidu media pada awalnya, ternyata kini ia tidak mampu lagi disembunyikan. Mereka juga dikatakan baru menjalani penggambaran filem bersama iaitu When In Rome yang dijangka akan berada di pawagam tahun depan dan kononnya mereka sentiasa mengambil peluang untuk mengisi waktu terluang berdua di sana.

Tentang Bell
Nama Penuh: Kristen Anne Bell
Tarikh Lahir: 18 Julai 1980
Tempat Lahir: Huntington Woods, Michigan, Amerika Syarikat. (1980-07-18)
Adik-beradik: Dua. Sarah dan Jody(adik-beradik tiri)
Zodiak: Cancer
Filem Terbaru: Fanboys & Couples Retreat (2009)

No Response to "Kristen Bell.. Auranya Semakin Bersinar"