December 31, 2009

Nikmat Memaafkan Diri Sendiri

TIDAK ada seorang insan di dunia ini yang mendambakan kegagalan di dalam hidupnya. Namun, sudah menjadi lumrah, ia tetap akan bertamu di dalam kehidupan sesiapa sahaja. Dan acap kali dihantui dilema ia bisa melemahkan diri.

Secara jujurnya, pernahkah kamu menyalahkan diri, sehingga pada satu tahap kamu enggan untuk memaafkan? Namun, awas! Di hambat kecewa dan rasa bersalah bukan alasan untuk menghancurkan diri sendiri! esse bisa membantu kamu untuk bangkit segera!

Menyayangi diri bermakna kamu memikirkan keadaan diri. menjaga kesihatan, memikirkan masa depan, bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan menjauhi diri daripada perkara yang bisa merosakkan diri. Tapi, bagaimana ingin melahirkan rasa sayang pada diri sendiri?


Simpati Pada Diri Sendiri
Belas kasihan umpama penyembuh mujarab yang bertindak terus merawat luka kekecewaan. Dengarlah suara hati kamu yang sentiasa menjaga, menyembuhkan, dan bersedia untuk menggembirakan diri sendiri. Ia sememangnya wujud di dalam hati kamu, cuma kamu yang perlu lebih peka kepada diri sendiri untuk mendengarnya.

Menerima Diri Seadanya
Tiada manusia yang sempurna, termasuk dirimu. Tidak kira mana-mana bahagian tubuh kamu yang ingin diubah, penting untuk kamu menilai siapa dirimu sebenarnya. Dalam diam kamu sebenanya punya kelebihan dan ciri-ciri istimewa yang adakala tidak pernah diselongkar!

Menghormati Diri Sendiri
Dalam dunia pendidikan yang mencabar, persaingan mampu mendorong seseorang itu untuk merasa rendah diri. Imbas kembali, kala seseorang menunjukkan rasa hormat ketika kamu mengalami rendah diri? Ingatkah bagaimana rasa hormat itu menceriakan diri kamu apabila komen dan pujian itu benar? Jadi adakah adil jika kamu sendiri enggan memberikan rasa hormat pada diri sendiri.

Sentiasa Mencari Sokongan
Pernahkah kamu seperti tidak berdaya dan berasa malas untuk bangun dari ranjang seolah-olah enggan untuk menghadapi dunia? Pada ketika seperti itu barangkali kamu impikan akan ada seseorang untuk mendorong serta meniupkan semangat kamu untuk meneruskan hidup. Sememangnya, setiap orang perlukan sokongan dan galakan untuk menggapai impian. Tanpa asas tersebut pasti takkan lahir rasa keyakinan dan motivasi untuk seseorang itu tegar menghadapi rintangan yang menghalanginya.


" Ingat! Rasa bersalah atau kecewa bukan alasan kamu hancurkan diri sendiri!"

Menghargai Belaian
Pernahkah kamu melihat reaksi seekor kucing apabila dirinya di belai? Seperti seekor haiwan, seorang insan juga memerlukan kasih sayang dan penghargaan. Sememangnya sudah tertulis, setiap manusia memerlukan cinta dan kasih sayang. Kasih sayang daripada diri sendiri adalah kesihatan hidup yang seimbang.

Malah, selama ini kita hanya biasa mencintai atau pun di cintai orang lain. Tetapi kita selalu terlupa untuk mencintai diri sendiri. Sedangkan, menyayangi diri sendiri adalah sesuatu yang paling hebat dapat kita lakukan dalam hidup. Ada juga yang menegaskan kita perlu belajar untuk memahami bagaimana untuk menyayangi diri sendiri kerana kita berhak untuk menikmati kebahagiaan itu. Selamat mencuba!
your ad here

comments

0 Responses to "Nikmat Memaafkan Diri Sendiri"