Panduan Elak Konflik Kala Beri Arahan

SEBAGAI ketua, acapkali kamu dihambat dilema kala ingin memberi tugasan kepada teman bawahanmu. Enggan dipandang serong dan wujud konflik yang bisa menegangkan hubungan kalian hingga adakalanya membingungkan.
Tidak dinafikan, seringkali wujud konflik di antara pegawai atasan dengan pekerja bawahan apabila faktor usia menjadi sandaran. Selain gagal mengaplikasikan etika bekerja yang sebenar, adakalanya isu ini timbul akibat wujudnya salah faham pegawai atasan terhadap peraturan memberi tugasan tertentu kepada teman bawahannya.
Jadi, jangan fikir tugas memberi arahan dan tugasan tertentu kepada teman-teman sekerja semudah memetik jari. Lantaran, saat kamu membuka mulut memberi arahan, kamu sudah memberi amanah dan secara tidak langsung turut menambah tanggungjawab kepada mereka.
Oleh itu, kamu bertanggungjawab memastikan tugas yang diamanahkan itu dapat disempurnakan sebaiknya tanpa menganiya teman-temanmu. Resah? Usah lagi kerana Frenz! ada beberapa panduan yang mungkin berguna!
Kenal Pasti Tugasan
Sangat penting untuk kamu memahami selok-belok tugasan yang akan diberikan kepada teman sekerjamu. Dapatkan apa saja maklumat atau perkembangan terbaru sebelum melepaskan tugasan tersebut kepada mereka untuk mengelakkan wujudnya salah faham kelak sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkauan. Tak rugi kalau kamu dapat menambah pengetahuan tentang tugas tersebut kerana mungkin ia dapat mengelakkan kamu daripada dimalukan jika tidak mampu memberi penerangan terhadap soalan yang diajukan mereka nanti.
Pastikan Tugasan Diberi Sesuai
Sesuka hati kamu memberi tugasan kepada pekerja bawahanmu, hingga adakalanya diluar bidang tugas mereka. Bagimu asal saja diperintah ketua, setiap pekerja perlu menurut walaupun itu bukan bidang tugasnya sekalipun! Usah amalkan perangai kamu itu jika tidak mahu kerjamu turut tergendala kelak. Adakalanya kesilapan kecil yang dibuat pekerja bawahan bisa menular dan memburukkan keadaan. Jika itu jangan pula kamu salahkan mereka tapi salahkan diri sendiri kerana tidak amalkan sistem kerja yang efisien.
Pastikan Arahan Diberi Berlapik
Kamu tidak mahu dilabel sombong atau gila kuasakan? Jika begitu jangan sesekali memberi arahan dengan nada suara yang tinggi atau bongkak. Justeru, menangi hati teman –teman bawahanmu dengan cara menyuarakan arahan secara lemah lembut dan berlapik agar mereka tidak menganggap ia sebagai satu tugasan paksa. Jika kamu berlembut, pasti mereka juga akan menerima tugasan itu dengan hati yang senang dan terbuka.
Usah Kerap Bertanya
Pelik tapi memang wujud spesis ketua seperti ini. Kamu sudah memberi informasi lengkap dan deadline untuk teman bawahanmu menyudahkan tugasan itu, namun setiap hari pantang terlihat wajahnya kamu akan terus menerus bertanya perkembangan tugas yang kamu berikan itu. Elakkan sebolehnya daripada terus bertanya soalan yang membosankan itu setiap hari sebaliknya aturlah jadual misalnya seminggu sekali supaya dia bisa melaporkan perkembangan tugasan tersebut kepadamu. Ingat, jika dia bosan dan buat ala kadar pekerjaan itu, tentu kamu juga yang susah bila hasil yang diperolehi tidak memuaskan hati!
Toleransi Pada Waktunya
Ingat, jika kamu memberikan arahan kepada teman sekerjamu, tidak semestinya dia kelapangan setiap masa. Tambah lagi kalau kamu sekadar ingin dia membantumu sahaja. Ingat, adakalanya dia juga punya masalah teknikal yang mungkin akan mengganggu kelancaran kerjanya dan mungkin juga dia punya tanggung jawab atau tugas lebih penting yang perlu dibereskan segera.
Berikan Penghargaan
Semua tugasan yang kamu amanahkan sudah disempurnakan dengan jayanya. Jangan kamu biarkan dia keluar dari bilikmu begitu saja. Suarakan penghargaan ikhlasmu itu. Banyak cara yang bisa kamu lakukan untuk meluahkan sama ada belanja makan tengahari atau petang. Malah, juga cukup sekadar memberi ucapan terima kasih. Dua perkataan yang walaupun ringkas namun begitu mendalam maknanya. Selamat mencuba dan semoga berjaya!





Bookmark and Share

No Response to "Panduan Elak Konflik Kala Beri Arahan"