January 18, 2010

Saya Tidak Kisah Gelaran Ibu Tunggal - Rozita Che Wan


KAGUM dengan keazaman dan semangat kental ibu tunggal jelita kelahiran Alor Star, Kedah ini. Biarpun adakalanya pemilik nama sebenar Rozita Che Wan, 37, tidak menafikan amat letih apabila terus-terusan disakiti dan dilukai dengan pelbagai hujaman gosip dan tohmahan.

Namun, lewat kejayaannya menempa nama daripada seorang model ke pentas lakonan biarpun baru tiga tahun bergelumang di dalam bidang itu, sudah cukup membuatkan sahamnya semakin melambung tinggi.

Apatah lagi di tambah dengan lirikan menawan miliknya itu dan sesungguhnya tidak bisa dinafikan Rozita memiliki pakej lengkap bergelar seorang bintang. Dan sempena meraikan kehadiran lembaran baru 2010, Rozita yang begitu mesra membahasakan dirinya Ita ini turut memaku keazaman tersendiri di dalam dirinya.

“ Saya akan berusaha meningkatkan prestasi di dalam lakonan. Usah mengharapkan saya bisa memberikan lakonan yang 100 peratus terbaik. Saya tahu masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“ Tetapi, seperti orang lain saya juga ada keinginan untuk berubah dari satu peringkat ke satu tahap lebih baik. Walaupun masih banyak impian dan hasrat saya yang belum tertunai sehingga hari ini. Ikrarnya sambil turut mengakui bakat lakonannya mash belum cukup teruji.
“ Malahan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Susuk dan Ai, Di Beijing ini turut melafazkan syukur lantaran tawaran yang diterima ternyata bersilih ganti. Biarpun, tidak sejuk-sejuk kisah panasnya yang dikatakan mempunyai skandal dengan ramai lelaki namun Rozita terus ligat dengan karier seninya yang semakin memuncak.

“ Selagi bakat ini dihargai dan sedaya upayanya saya akan terus berusaha melakukan yang terbaik selagi diri ini berkeupayaan untuk melakukan. Meskipun, saya akui adakalanya jadual penggambaran yang ketat adakalanya memang memenatkan tetapi apabila berfikir itu adalah punca rezeki, adrenalin saya akan lebih memuncak dan teruja!” kata bekas pramugari ini lagi.

Bergelar Janda Rozita Utamakan Maruah Keluarga
Sememangnya, adalah normal apabila memperkatakan soal persepsi masyarakat. Setelah hampir tujuh tahun berpisah dengan bekas suaminya Azuar Effendy Zulkafly, adatlah apabila seorang janda muda apatah lagi turut dibekalkan keindahan paras rupa umpama bidadari pastinya pelbagai tanggapan negatif akan dilemparkan. Dan secara peribadinya, dia memegang prinsip maruah dan nama baik keluarga sememangnya perlu dijunjung tinggi.

Jelak menepis gosip dan tohmahan, bagi Rozita hidup bergelar seorang selebriti tidak perlu ada istilah pura-pura. Jika terlalu berjaga-jaga bagaimana hendak menikmati hidup? Sementelah, semua itu ibarat rencah kehidupan public figure sepertinya.

“ Hiduplah sebagai sesiapapun, di dunia ini takkan lekang dengan cabaran dan masalah. Bezanya, cuma sejauh mana keupayaan diri untuk menepis dan sekaligus berusaha memelihara diri dan nama baik keluarga.

“ Saya percaya jika kita tidak jujur dengan ‘persembahan’, lambat laun orang lain akan bisa melihat celanya di mana-mana. Apa yang penting, selagi saya jujur dan memang benar-benar tidak bersalah saya tidak kisah. Lagipun, mulut orang takkan mampu ditutup, mereka berhak untuk cakap apa saja!

Malah, menurut Rozita lagi, dia tidak pernah menyesal dengan jalan yang dirintis. Apatah lagi apabila seluruh hidupnya kini terpaksa dikongsi dengan orang lain. Biarpun, mengakui adakalanya sukar untuk dia mendepani keadaan itu, tetapi seringkali pula dia mengingatkan diri sendiri supaya terus jujur pada diri sendiri dan keluarga.
“ Benar. Terlalu banyak dugaannya untuk sampai di tahap ini. Untungnya saya punya keluarga yang banyak memberikan sokongan moral dan betapa bertuahnya saya kerana mereka begitu prihatin dan memahami.

“ Mereka benar-benar kenal saya. Memang tidak dinafikan adakalanya hujaman dan godaan gosip sedikit sebanyak turut memberi efek kepada mereka terutamanya anak-anak saya. Tetapi kebiasaannya, saya akan menerangkan keadaan sebenar dan setakat ini mereka memang memahami dan tidak mudah goyah serta menggelabah apabila dihasut dengan gosip-gosip buruk tentang saya.

“ Mungkin ikatan kami yang begitu rapat antara satu sama lain menyebabkan mereka lebih kenal siapa diri saya sebenarnya. Orang lain boleh bercakap apa saja kerana mereka tidak kenal diri saya,” terang ibu kepada Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, ini lagi.

Namun, menurut Rozita seboleh-bolehnya dia akan cuba menepis setiap gosip yang cuba menghampiri sebaik-baiknya. Paling mudah adalah cuba mengurangkan penampilan di publik. Sekurang-kurangnya dengan cara begini orang lain takkan mudah-mudah menuding lantaran tiada bukti. Tambahan lagi dia juga menanam tekad untuk cuba mengurangkan kontroversi selepas ini.



Tidak Kisah Gelaran Ibu Tunggal
Tidak mudah bergelar ibu tunggal. Apatah lagi terpaksa memikul gelaran tersebut pada usia yang muda seawal 30 tahun. Tapi itulah realiti hidup dan perjuangan yang telah diperjuangkan Rozita selama ini.

“ Gelaran ibu tunggal bukan satu masalah untuk saya. Malah, saya amat bersyukur anak-anak amat memahami dan tidak pernah ambil hati dengan gosip yang bukan-bukan. Dan saya rasa semua wanita seperti saya juga berdepan dengan perasaan yang sama.
“ Berbanding wanita dahulu, wanita sekarang lebih berdikari dan kuat semangat. Hidup tanpa lelaki umpama satu cabaran demi menguji kekebalan mereka untuk mencipta kehidupan yang sempurna seperti keluarga lain.

“ Bebas membuat dan menentukan keputusan terpenting di dalam hidup tanpa perlu merujuk kepada sesiapa terlebih dahulu. Malah, kewibawaan wanita juga sebenarnya teruji menerusi kebebasan mereka untuk bergaul tanpa kongkongan sesiapa dan paling utama tidak perlu pening-pening melayan kerenah mereka.

Bertuahlah kalau dapat yang memahami tapi jika sebaliknya, hanya menambah masalah dan sakit kepala saja. Tapi ini bukan bermakna saya anti lelaki kerana saya juga impikan hidup bahagia di samping lelaki kesayangan seperti orang lain.

Melewati soal jodoh, Rozita mengakui hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa. Apa yang jelas, biarpun mengakui sudah selesa dengan kehidupannya sekarang, jauh di sudut wanita bermata galak ini masih berbisik impiannya untuk bertemu dengan lelaki yang bisa menerima diri, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya seperti apa adanya.




Bookmark and Share
your ad here

comments

0 Responses to "Saya Tidak Kisah Gelaran Ibu Tunggal - Rozita Che Wan"