
PERNAHKAH kamu terfikir, biar pun begitu berusahanya kamu untuk menambah koleksi sahabat, namun tetap musuh pula yang mudah kamu perolehi. Sememangnya, mencari musuh begitu mudah. Namun untuk mencari sahabat sejati tidak semudah memetik jari! Istimewanya mereka ibarat satu di antara seribu.
Apa lagi jika kamu ingin mempertahankan sesebuah ikatan persahabatan yang telah sedia terjalin. Bertambah sukar jika wujud pula anasir-anasir luar yang bisa menggoyahkan ikatan kalian. Nah, Esse! senaraikan beberapa usaha yang sesuai untuk kamu amalkan. Usah bingung-bingung lagi ya!
Atas alasan apa kamu ingin menjalinkan persahabatan? Itu adalah faktor tunjang yang perlu kamu ketahui sebelum mengambil keputusan untuk menerima orang lain sebagai teman yang rapat denganmu. Pastikan kamu sudah memaklumi jawapannya kerana jika kamu sendiri tidak pasti akan alasannya, maka kamu mungkin tidak akan bisa menemui persahabatan sejati yang kamu cari-cari itu.
Usah Ambil Kesempatan
Namun, Esse nasihatkan kamu agar tidak bersahabat hanya untuk mengambil kesempatan atau untuk menumpang kemewahan serta kesenangan mereka semata-mata. Lantaran, persahabatan yang berlandaskan faktor-faktor ini takkan selamanya kekal. Lebih malang, jika kamu juga akan dipandang serong oleh orang lain semata-mata kerana sikap kamu itu.
Berikan Penghargaan Sejujurnya
Hargailah sahabatmu seperti mana kamu ingin dihargai oleh mereka. Malah, paling penting kamu perlu menanam di dalam diri dan sentiasa berfikir tentang apa yang dapat kamu berikan kepada sahabatmu dan bukan apa yang dapat kamu peroleh dari persahabatan itu. Biasakan diri untuk sentiasa ikhlas melakukan sebarang pertolongan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Telus Membakar Semangat
Ketahuilah bahawa seorang sahabat sejati akan selalu membakar semangat temannya dan sentiasa saling mendorong antara satu sama lain demi mencipta kejayaan bersama. Seorang teman yang telus tidak akan sekali-kali menikam kawannya dari belakang hanya untuk kepentingan diri sendiri.
Apabila sahabatnya mengecapi kebahagiaan, dialah juga orangnya yang akan meraikan kebahagiaan tersebut tanpa rasa cemburu dan hasad dengki. supaya mereka bersama-sama untuk dapat menjadi yang terbaik, bukan untuk menjatuhkan.
Sentiasa Sedia Memaafkan
Resipi kebahagiaan dalam persahabatan. Jangan sesekali biarkan luka yang terguris di hatimu itu merebak menjadi nanar yang lebih dalam. Ia pasti akan bertukar menjadi dendam dan kepahitan dan pastinya bisa menghancurkan persahabatan yang telah terjalin. Memaafkan segala kesalahan yang pernah dilakukan oleh sahabatmu adalah jalan terbaik.
Elakkan Menuding Jari
Tanamkan di dalam jiwa, bahawa setiap insan yang dilahirkan di dunia ini takkan sempurna sifat mereka. Apa yang paling penting adalah kesediaan kamu untuk belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan supaya tidak diulangi di masa depan. Oleh itu, janganlah pula kamu asyik memandang kesalahan yang telah dibuatnya. Ini adalah cara untuk menunjukan betapa kamu mengambil berat dan peduli akan kehadirannya. Jangan tinggalkan sahabatmu saat dia berbuat kesalahan. Bersabarlah dan tuntunlah dia ke jalan yang benar sehingga dia berubah.
Usah Mengawal Hidup
Ingat! Dia bukan siapa-siapa kepada kamu. Dia cuma seorang teman rapat yang juga punya hidup privasi sendiri. Jadi seboleh-bolehnya, elakkan daripada mengawal sahabatmu. Bersahabat bukan bererti kalian harus selalu bersama-sama. Memang akan terasa sangat menyenangkan bila dapat selalu bersama dengan seseorang yang memahami dan sekepala. Tetapi bukanlah bermakna kamu boleh menguasai hidupnya begitu saja!






comments
0 Responses to "Temui Sahabat Semudah Memetik Jari?"Post a Comment