6 Muslihat Penggembur Cinta

SUDAH bertemu cinta sejati belahan jiwa? Jika sebelum ini bermati-matian kamu berjuang demi menemukan seorang pendamping hidup, lalu apakah perjuangan itu akan berhenti setakat itu sahaja? Ingat demi sebuah keutuhan perhubungan, masih banyak yang perlu dilakukan. Memang bunyinya agak pelik, namun hakikatnya ada kala kita perlu beraksi lebih bijak demi mengeratkan lagi hubungan. Frenz! Tampilkan enam muslihat hebat!

Terima Seadanya Dia
Biasalah... Tentu saja di awal musim percintaan, segala-galanya manis menyenangkan. Waktu itu buatlah apa pun, semua nampak elok dan comel saja. Itu kala kehangatan cinta masih membara, tapi bila sudah melewati tahap ‘suam kuku’, mulalah ketara ‘wajah’ sebenar si dia. Memang menjengkelkan! Namun usah gunakan alasan tersebut untuk menjarakkan hubungan, berusahalah mengubah si dia perlahan-lahan dan lihat kekurangannya menerusi sudut positif. Misalnya, perhatian dan ambil berat atau pengorbanan yang pernah diberikan untukmu! Mustahil jika selama bersama, tidak ada langsung kebaikan si dia yang melekat di hatimu itu!

Kongsi Hala Tuju Perhubungan
Malu meluahkan angan-angan dan impian? Usah berangan sendirian tetapi belajarlah untuk berkongsi dengan kekasihmu itu. Kebanyakan pasangan cenderung untuk merahsiakan keinginan, arah hubungan, impian dan tujuan hidup mereka lantaran dihambat rasa malu dan rasa kurang yakin terhadap komitmen pasangan. Usah cepat mengadili hati si dia sebaliknya lebih adil bukan jika kamu boleh berikan sedikit ruang untuk si dia menunjukkan betapa komited dirinya untuk meneruskan hidup bersama kamu.

Bijak Kemudi Emosi
Adatlah sebuah hubungan. Takkan sentiasa diwarnai bahagia, ada kalanya pasti disulami pertengkaran dan air mata. Ibarat pasang surutnya pantai begitu juga dengan cinta. Apa yang penting sejauh mana kalian bijak menangani dan mengemudi emosi agar tidak tersasar hingga memburukkan lagi keadaan. Ingatlah, langkah paling sempurna adalah berkongsi apa saja masalah yang timbul dan usah biarkan ia berlarutan tanpa langkah penyelesaian.

Saling Memahami
Indahnya bila bercinta. Saat sukar, saat gembira ada tempat untuk dikongsi bersama. Sentiasa ada untuk satu sama lain amat penting bagi sepasang kekasih. Percayalah, pasangan ideal pasti tidak akan takut untuk berdepan dengan ribut taufan yang menduga sepanjang bersama. Asal saja kalian sentiasa bersatu mengharungi getir mendatang, pasti takkan calang-calang kalian dapat ditewaskan. Malah, semakin banyak halangan ditempuhi bersama, semakin kuat dan teguh kasih sayang terjalin.

Tiada Istilah Kepura-puraan
Tanyalah pada diri sendiri...adakah kamu benar-benar telus menyintai si dia selama ini? Atau sekadar berpura-pura dan bermain mata di belakang? Ingatlah, hanya hubungan bersulamkan ketelusan bisa sampai ke garisan penamat dengan bahagia di genggaman. Sedar atau tidak, salah satu kriteria yang menentukan sebuah hubungan ideal antara pasangan adalah sikap terhadap satu sama lain kala bersama. Andai ada ketelusan, kalian cenderung untuk tidak menyembunyikan sikap sebenar. Apa saja yang terbit dari bibir adalah telus, spontan dan bukan dibuat-buat.

Murahkan Senyuman
Istimewanya senyuman adalah jika ia dihadiahkan kepada orang lain. Kekuatannya tidak mungkin mampu diekspresikan menerusi kata-kata. Sentiasa maniskan wajah dan ukirkan senyuman kamu kepada si dia. Jika kata orang, hanya menerusi mata pena bisa menikam sukma, dan menerusi kata-kata mampu melemahkan jiwa seorang perwira, istimewanya sebuah senyuman juga tidak kurang hebatnya. Hanya segaris senyuman mampu mencairkan sekeras-keras hati yang beku, dingin dan tidak bernyawa. Malah, magisnya kuasa sebuah senyuman turut berkuasa menerbitkan semangat dan rasa putus asa bahkan menjadi ubat penenang bagi jiwa yang keresahan.

No Response to "6 Muslihat Penggembur Cinta"