AIM 18 Tampil Kelainan
Bahang Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) semakin terasa. Usai pengumuman senarai pencalonan akhir pada bulan lepas, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Khamis lalu mengumumkan barisan penyampai anugerah, pengacara serta artis yang akan membuat persembahan pada malam anugerah yang akan berlangsung pada 12 November 2011.
AIM 18 bakal menggegarkan pentas Stadium Putra Bukit Jalil dengan persembahan mantap dari artis-artis terkemuka tanahair seperti Yuna, Mawi dan Akhil Hayy, Hafiz, Stacy, Meet Uncle Hussain dan Hazama, 3 Suara, Ella, Salma dan Nashrin. Tidak ketinggalan, kumpulan 6ixth Sense, Azlan & The Typewriter, Rahmat Mega, Zamani Slam, Aly AXLs dan juga Ezad Exists. Majlis bertemakan Bergemerlapan dan Glamor itu bakal dikendalikan oleh pengacara A.C Mizal dan Zizan Razak.
Istimewanya, selepas 10 tahun tiada artis antarabangsa yang membuat persembahan di AIM, di mana kali terakhir kumpulan rock terkenal, Scorpion membuat persembahan, kini AIM 18 menampilkan seorang artis muda dari Amerika Syarikat, Greyson Chance untuk memeriahkan lagi AIM kali ini. Greyson bakal membuat persembahan bersama penyanyi Youtube, Najwa Latiff dalam segmen persembahan khas. Ia merupakan simbolik tentang pengaruh revolusi digital muzik.
Antara artis yang terlibat sebagai penyampai anugerah pula ialah Dato’ M. Nasir, Search, Nora, Ziana Zain, Fauziah Latiff, Zainal Abidin, Remy Ishak, Neelofa, Tony Eusoff, Sarimah, Ramlah Ram, Syamsul Yusof dan ramai lagi. Selain itu, Dato’ Ramli MS pula akan bertindak selaku Pengarah Muzik pada malam itu. Sementara itu, bakal penyampai AIM 18 juga bakal diriaskan mengikut tema oleh 10 pereka fesyen muda berbakat besar Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Hazwani Osman, Nazreen Idris, Azura Mazruddin, Zery Zambri, Rico Rinaldi, Khairi Sufi, Anizam Yusoff dan Ezwan Ismail.
Jangan ketinggalan untuk menonton malam anugerah AIM 18 pada 12 November 2011 yang akan bersiaran secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil, bermula dengan acara Karpet Biru yang bakal dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Diana Danielle jam 8.30 malam dan diikuti Siaran Langsung AIM 18, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
No Response to "AIM 18 Tampil Kelainan"
Post a Comment